mutakhir

Loya tekak nak ke MRT

Oleh Garret Dawum

Cheras: Baru tiga bulan beroperasi, laluan pejalan kaki menghubungkan tempat letak kereta bertingkat Taman Segar ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara sudah menimbulkan masalah kepada kira-kira 2,000 penduduk sekitar apabila saluran kumbahan bocor.

Wakil penduduk, Chua Ah Hock, 72, berkata, limpahan kumbahan dari kawasan komersial di sekitar pusat beli-belah Leisure Mall menyebabkan berbau busuk dan penduduk tidak selesa apabila mahu ke stesen MRT.

“Saya sangat seronok menggunakan MRT untuk ke pusat bandar serta melawat kawan dan tidak dinafikan tempat letak kereta bertingkat itu adalah kemudahan terbaik bagi penduduk terutama mengatasi masalah kesesakan.

“Namun, kebocoran saluran kumbahan mengundang bau meloyakan dan air yang mengalir menyebabkan laluan pejalan kaki lecak sehingga menyukarkan pergerakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pertemuan itu, Pengerusi Wanita MCA Bahagian Cheras, Datin Heng Sinn Yee turut hadir meninjau kawasan itu berdasarkan aduan diutarakan penduduk dan beliau berkata, akan berusaha mendapatkan pihak bertanggungjawab.

Menurut Ah Hock, dia bimbang sekiranya masalah itu dibiarkan berlarutan menyebabkan penduduk tidak mahu menggunakan laluan pejalan kaki berkenaan yang mempunyai tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan mengecewakan.

“Saya harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani masalah ini dan mengubah kelemahan yang ada untuk keselesaan penduduk.

“Taman Segar adalah kawasan tumpuan umum terutama pada hujung minggu serta cuti persekolahan kerana terdapat banyak kedai makan selain pusat beli-belah dan kini ada stesen MRT,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohamad Kamal, 57, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak projek siap dibina sehingga mengakibatkan bau jijik dan boleh dihidu sebaik melalui kawasan berkenaan.

“Keadaan bertambah teruk apabila hari hujan, ditambah laluan pejalan kaki tidak mesra pengguna kerana tiang besar diletakkan di tengah jalan dengan bumbung terlalu kecil.

“Bagi kebocoran itu, saya minta pihak berkenaan membaiki dengan segera sementara ia masih baru,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 3:00am
d