mutakhir

Usah tertipu tom dam

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Mangga Harumanis Perlis yang terbaik pernah dihasilkan setakat ini daripada Jabatan Pertanian Malaysia Negeri Perlis di Malaysia.

Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Negeri Perlis Zulkefli Amin Mat Jusoh berkata, Harumanis Perlis adalah mangga klon jenis MA128 dan merupakan baka mangga terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia.

Katanya, nama Harumanis Perlis diperoleh daripada bau dan aromanya yang harum selain rasanya yang gebu serta manis berbanding mangga lain.

“Bau Harumanis Perlis sangat berbeza daripada mangga lain, ia semerbak dan jika kali pertama dihidu, memang tidak akan percaya itu bau mangga.

“Malah rasa isinya yang gebu dan tebal membuatkan penggemarnya sanggup datang dari jauh semata-mata mahu membeli beberapa kilogram,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini, jenis mangga yang popular di Malaysia ialah mangga epal, kuinin, sala, 164, tom dam dan harumanis.

Zulkefli Amin berkata, walaupun buahnya enak dimakan, namun tidak ramai yang tahu khasiat dan nutrisi Harumanis Perlis.

Katanya, nutrisi yang paling tinggi kadar peratusannya dalam Harumanis Perlis ialah vitamin C.

“Umumnya, masyarakat mengetahui bahawa vitamin C baik untuk kulit dan badan, hakikatnya tidak ramai tahu vitamin C juga baik untuk tulang dan gigi selain kalsium yang membantu menguatkan tulang.

“Bagi mereka yang mahukan kesihatan dan kekuatan tulang berpanjangan, maka Harumanis Perlis adalah jawapannya.

“Kandungan vitamin C mangga ini sebanyak 46. Walaupun vitamin C boleh didapati pada buahan tempatan lain namun aroma dan warna oren kekuningan pada isi Harumanis Perlis membuatkan penggemar buah terliur,” katanya.

Bagaimanapun, dalam memilih atau membeli harumanis, pembeli harus ada pengetahuan serba sedikit mengenainya bagi mengelak terpedaya.

Kata Zulkefli Amin, pelanggan sering tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab ketika membeli harumanis.

“Harumanis tiruan sering dijual segelintir peniaga ialah mangga tom dam,” katanya.

Ujarnya, mangga tom dam bentuknya hampir sama dengan Harumanis Perlis namun jika diamati dengan teliti, perbezaannya begitu ketara daripada segi bentuk dan warna isinya.

Menurut Zulkefli Amin, bentuk Harumanis Perlis berlekuk pada pangkal dan berbenjol di atasnya.

“Jika dilihat sekali imbas, bentuk Harumanis Perlis seakan bentuk kacang soya.

“Kami sendiri tidak pernah menjual Harumanis Perlis berwarna kuning pada kulitnya seakan-akan sudah matang seperti mangga lain,” katanya.

Menurut beliau, harumanis yang terlalu matang tidak sesuai dijual kerana peratusnya untuk lembik dan rosak tinggi, tidak sepadan dengan harganya.

Daripada sudut penjagaan dan penghasilan Harumanis Perlis, beliau berkata, kualiti buah terbaik datangnya daripada penjagaan rapi serta teliti bermula daripada penanaman anak pokok sehinggalah musim menuai.

Jelas Zulkefli Amin, kesilapan peladang atau penanam Harumanis Perlis ialah apabila mereka mengamalkan sistem 3T atau sistem tanam, tinggal dan tuai.

“Tindakan segelintir peladang yang menanam anak pokok kemudian tidak memberi perhatian penuh dalam penjagaan pokok terbabit mampu menggugat kualiti Harumanis Perlis,” katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal penanaman anak pokok Harumanis Perlis, jarak antara satu pokok ke satu pokok mestilah sejauh sembilan meter.

Ini kerana, apabila anak pokok mencapai tahap kematangannya selepas dua tahun, ia memerlukan ruang agar pokok tadi tidak bersaing merebut pencahayaan matahari.

“Maka hasilnya, harumanis tidak berkualiti dan rasanya juga tidak semanis harumanis yang memenuhi kehendak Jabatan Pertanian Malaysia Negeri Perlis,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 4:32am
d