mutakhir

Debab jinak ditunggang seperti kuda

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Kerjaya sebagai guru bahasa Inggeris tidak menghalang seorang pemuda dari Kampung Merbau Patah menternak dua kerbau di kawasan rumahnya.

Uniknya, dua kerbau milik Mohd Amri Azmi, 26, terlalu jinak hingga boleh dibelai dan ditunggang seperti kuda.

Mohd Amri berkata, dia menternak kerbau yang diberi nama Debab sejak tiga tahun lalu ketika ia berusia lima bulan.

“Rutin harian seperti memberi makan, memandikan dan membelai kerbau satu kepuasan dan sesi terapi kepada saya.

“Kerbau yang lazimnya bersifat liar dan sukar dijinakkan menjadi jinak dan manja sekiranya ia dijaga dengan rapi.

“Seronok membela kerbau yang jinak, biarpun saya hanya meluangkan masa seminggu sekali dengan Debab kerana bertugas di Kemaman,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Dia yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru, Cheneh, Kemaman dibantu rakannya, Amirol Hakimi Mat Noh, 27, dari Kampung Padang untuk memastikan kerbau yang diternak itu sihat dan terjaga.

“Saya pulang ke kampung setiap minggu untuk bermain dengan Debab dan paling seronok apabila menunggangnya di kawasan berpaya.

“Debab dibeli daripada seorang penternak kerbau dari Kampung Gemuruh dengan harga RM2,500 dan kini ia dianggarkan berharga RM6,000,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 4:52am
d