mutakhir

Panjat rumah jiran

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Dua lelaki warga asing bagai menempah maut apabila memanjat balkoni sebelum masuk ke rumah jiran bersebelahan demi menyelamatkan diri di tingkat 26 sebuah kondominium di Dang Wangi, di sini, ketika pihak berkuasa melakukan Ops Bersepadu, malam kelmarin.

Serbuan jam 11 malam itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Difahamkan, ketika serbuan di sebuah rumah di tingkat 26 dipercayai didiami sekumpulan lelaki warga Bangladesh, dua daripada mereka memanjat balkoni dan masuk rumah jiran menyebabkan penghuni rumah terkejut lalu membelasah mereka kerana disangka pencuri.

Jiran yang juga warga Bangladesh kemudian memaklumkan kepada polis bahawa dua lelaki memasuki rumah mereka namun salah seorang berpatah balik ke rumah merekamanakala seorang lagi sempat dicekup.

Pihak polis kemudian memeriksa sekali lagi rumah terbabit sebelum menemui seorang lelaki sedang menyorok di bawah tilam buruk di balkoni dan kedua-dua warga asing terbabit didapati tiada dokumen sah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai kebanjiran warga asing.

“Dalam operasi ini, seramai 135 warga asing diperiksa menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah dan 15 daripada mereka ditahan kerana didapati melanggar peraturan imigresen,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga Indonesia.

“Mereka diserahkan kepada pihak JIM untuk tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c), 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 4:56am
d