mutakhir

Fatimah tunggu awal pagi

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

FATIMAH Mahidin, 76, pesakit saraf kaki dan darah tinggi kelihatan bersemangat dan tersenyum sebaik melihat pemimpin negara melangkah masuk ke rumahnya.

Dengan baju kurung dengan warna rasmi UMNO, perasaan teruja bekas Ketua Wanita cawangan Salong nyata tidak dapat disembunyikan.

Senyum lebar sebaik melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di rumahnya di Kampung Baru Salong, Pekan, hari ini.

"Makcik pakai baju UMNO sebab bapa (merujuk kepada Najib sebagai Presiden UMNO) datang hari ini.

"Siapa yang tidak gembira apabila Perdana Menteri sudi meluangkan masa datang melawat dan bertanya khabar," katanya.

Dalam lawatan itu, Najib turut menyampaikan sumbangan seperti susu, lampin pakai buang, wang dan kerusi roda kepada Fatimah yang menjadi Ketua Wanita UMNO cawangan Salong lebih 40 tahun.

Sementara itu, Alawiyah Saman, 53, berkata ibunya adalah antara pengasas UMNO cawangan Salong bersama ayahnya, Allahyarham Saman Ter, 78.

"Ibu cukup bersemangat dalam perjuangan UMNO dan sanggup bersama-sama menggantung bendera dan poster di pokok ketika kempen pilihan raya.

“Cuma bila kurang sihat kami nasihatkan supaya ibu perlahankan kegiatannya.

"Sampai sekarang ibu masih bersemangat dengan perjuangan UMNO, dia sangat gembira apabila Perdana Menteri melawatnya. bangun awal pagi dan minta dipakaikan baju rasmi UMNO," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 12:44pm
d