mutakhir

7,500 pek makanan sehari

Oleh Hafizudin Mohd Safar

Kangar: Sebanyak 7,500 pek makanan disediakan setiap hari untuk diedarkan kepada mangsa banjir dan juga petugas yang bertugas sejak Khamis lalu di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perlis.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pek makanan itu dimasak petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

Menurutnya, 2,500 pek makanan disediakan setiap sesi sarapan, makan tengah hari dan makan malam semuanya berjumlah 7,500 setiap hari dengan bantuan tidak kurang 100 petugas dan sukarelawan Yayasan Pok dan Kasim (YPK) dan juga Sukarelawan JKM Perlis.

“Pusat penyediaan makanan ini dibuka di hadapan pejabat YPK di Pengkalan Asam Kangar bagi memudahkan pasukan bantuan bencana mengedarkan bekalan makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam.

“Kami juga berharap orang ramai dan badan sukarelawan yang berkelapangan hadir ke pekarangan pejabat YPK sama ada untuk membantu memasak dan membungkus makanan atau menghulurkan sebarang bantuan bekalan makanan,” katanya ditemui selepas memantau perkembangan semasa di pusat penyediaan makanan mangsa banjir, di sini, semalam.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 5:23am
d