mutakhir

'Kita kasi pecah...'

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

KHIDMAT anggota bomba terpaksa digunakan selepas penjaga premis judi dalam talian di Klang enggan membuka pintu dalam serbuan polis malam semalam.

Dalam operasi jam 11 malam di pusat komersial Jalan Pulau Pinang 3 itu, pasukan serbuan menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu masuk ke premis itu dipecahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, enam anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan selepas penjaga premis enggan membuka pintu.

Beliau berkata, pintu berkenaan dilengkapi sistem elektronik dan ia tidak dibuka oleh penjaga premis perjudian warga Indonesia.

"Sebelum operasi beberapa anggota polis yang melakukan penyamaran berjaya memasuki premis namun ketika pasukan serbuan tiba, penjaga premis enggan membuka pintu sebelum kami meminta bantuan bomba.

"Ada 11 pelanggan dan lima penjaga premis termasuk empat wanita berada di tingkat satu dan dua bangunan empat tingkat itu," katanya.

Mazelan berkata, siasatan ke atas kelima-lima penjaga itu mendapati mereka tiada dokumen perjalanan dan pasport tamat tempoh.

Beliau berkata, hanya pelanggan tetap saja dibenarkan masuk ke dalam premis itu malah tiada papan tanda.

"Dalam operasi ini 32 unit komputer, dua mesin perjudian simulator serta sebuah modem dirampas.

"Tindakan sita terhadap barangan dalam premis turut dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Siasatan mendapati premis ini tidak pernah diserbu dan ia baru dua bulan beroperasi," katanya.

Beliau berkata, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara, Asisten Superintendan Norsanizam Nordin itu dijalankan selepas intipan dilakukan kira-kira seminggu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 9:26am
d