mutakhir

Ditemui meninggal dunia dalam tandas

Oleh Baharom Bakar

LELAKI berusia 40-an ditemui meninggal dunia dalam tandas stesen minyak di Merang, Setiu, kira-kira 5 pagi hari ini.

Kejadian disedari seorang pekerja stesen minyak itu yang menemui motosikal dipercayai digunakan mangsa di depan tandas, kira-kira jam 5 pagi, sebelum menghubungi polis selepas mendapati pintu tandas berkunci lebih sejam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Setiu menerima laporan kejadian itu jam 6.43 pagi.

"Pekerja stesen minyak itu mulanya tidak mengesyaki apa-apa tetapi selepas lebih sejam apabila dia dapati motosikal berkenaan masih di situ dan pintu tandas berkunci dari dalam, dia bertindak menghubungi polis," katanya hari ini.

Menurutnya, selepas menerima laporan, beberapa angota bomba bergegas ke lokasi dan terpaksa menggunakan alat pemotong untuk membuka pintu tandas yang berkunci dari dalam.

"Selepas pintu berjaya dibuka, lelaki itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kemudian dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut," katanya.

Zulkifli berkata, polis yang menjalankan siasatan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.

"Bagaimanapun, semakan dilakukan mendapati motosikal yang ditemui di depan tandas dimiliki seorang lelaki berasal dari Kampung Penarik Setiu.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai mangsa menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 11:46am
d