mutakhir

Janji berdikari

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Padawan: Bagi memastikan haiwan liar khususnya dari spesies yang dilindungi terus hidup dalam keadaan baik, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menempatkan spesies itu di Pusat Hidupan Liar Matang (MWC) yang terletak di Taman Negara Kubah di Matang untuk direhabilitasi.

Pusat berkenaan berperanan memantau haiwan seperti orang utan yang dianggap tidak dapat atau masih belum bersedia menyesuaikan diri di habitat mereka.

Pengurus Wilayah Kuching SFC Zainal Abidin Abdullah berkata, di MWC pihaknya akan memantau perkembangan orang utan khususnya yang cedera untuk dipulihkan sebelum dibebaskan ke habitat asal.

Menurutnya, ada juga orang utan yang dilihat masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya kerana haiwan itu tidak dapat mencari makanan seterusnya menyebabkan risiko untuk mati lebih tinggi.

“Petugas di MWC akan memberi makanan kepada orang utan yang berada dalam pemantauan di pusat berkenaan, namun haiwan berkenaan dibiarkan bergerak bebas di kawasan itu.

“Sekiranya renjer berpuas hari dengan keadaan kesihatan dan prestasi serta kesesuaian untuk berdikari ia dilepaskan ke habitat asal untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, SFC juga mewujudkan Jawatankuasa Khas Taman (SPC) yang dianggotai masyarakat setempat dan kakitangan agensi kerajaan bagi membolehkan sebarang isu berhubung pengurusan taman negara dan haiwan liar dibangkitkan untuk tindakan selanjutnya.

Zainal Abidin berkata, SPC menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa khususnya SFC untuk memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti yang mengancam kehidupan haiwan liar di Taman Negara di negeri ini.

“Setakat ini, maklum balas yang diterima begitu memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan mereka juga tampil menyalurkan maklumat yang dapat dikumpul sebagai data.

“SFC tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti pemburuan haram orang utan di Sarawak malah masyarakat akan menyalurkan maklumat sekiranya terserempak dengan haiwan itu yang mungkin sakit untuk diberikan bantuan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga turut menjalinkan kerjasama dengan agensi lain antaranya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pelbagai cabang kajian mengenai orang utan.

Tambahnya, pertukaran maklumat dengan negara jiran juga dilaksanakan khususnya bagi orang utan yang terdapat di Taman Negara Batang Ai dan Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau yang terletak di Taman Negara Betung Kerihun, Kalimantan Barat, Indonesia.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 12:24pm
d