mutakhir

Kelebihan keledek ungu

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

TIGA varieti ubi keledek ungu baharu dilancarkan hari ini bagi meningkatkan lagi produktiviti tanaman ubi keledek di Malaysia.

Diberi nama Keledek Anggun 1, 2 dan 3, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran hasil lebih tinggi.

"Di Malaysia, nilai pengeluaran ubi keledek jauh lebih rendah dan dianggarkan sebanyak 43,211.8 metrik tan setahun dengan keluasan bertanam hanya 2,799,85 hektar.

"Jadi dengan adanya keledek baharu ini, kita berharap hasil pengeluaran akan bertambah.

"Ia juga dapat memberi akses kepada pengusaha dan petani berikutan varieti ubi ini yang mampu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Menurut Tajuddin, penyelidikan terhadap varieti itu dilakukan sejak 2008 menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), malah MARDI dipertanggungjawabkan untuk membangunkan varieti ubi keledek bernutrisi tinggi serta selamat dimakan.

"Keledek baharu ini mempunyai kandungan anti-oksida, antosianin dan mudah hidup walaupun tahap kesuburan tanah rendah dan lebih toleran terhadap kemarau serta penyakit," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Varieti Baharu Ubi Keledek Ungu di MARDI Bachok, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 3:05pm
d