mutakhir

Maut selepas sambut hari jadi

Oleh Mohd Hasbi Sidek

SEORANG lelaki ditemui mati di sebuah pusat hiburan di Taman Counnought, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan datang ke pusat hiburan berkenaan kira-kira jam 11.30 malam tadi untuk menyambut hari jadinya.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, mangsa hanya ditemui kira-kira 12.30 tengah hari, hari ini, oleh orang ramai di depan sebuah bilik hiburan pusat berkenaan.

"Polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian, bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki terbaring dipercayai sudah meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati mangsa lengkap berpakaian dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui," katanya.

Menurutnya, saksi memaklumkan mangsa datang berhibur kira-kira jam 11.30 malam bersama rakan untuk menyambut majlis ulang tahun kelahiran.

"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 6:34pm
d