mutakhir

Sekolah lebih ceria

Oleh HM Digital

Sabak Bernam: Seramai 80 penuntut dan tenaga pengajar jurusan Diploma Seni Bina Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) mencurahkan kemahiran masing-masing dalam Program Negaraku Sehati Sejiwa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phooi Min, Sungai Air Tawar, di sini, baru-baru ini.

Program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan memberikan pendedahan awal kepada murid sekolah mengenai kemahiran asas dalam bidang seni bina, selain mahu menjadikan suasana sekolah lebih ceria dan kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pensyarah PSIS, Ab Razak Ahmat berkata, penuntut dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bergotong-royong melakukan aktiviti seperti mengecat kelas, melukis, mewarna mural serta mengecat tembok pagar sekolah.

Katanya, kerjasama pihak sekolah yang bersetuju membiayai kos cat serta kemahiran dimiliki penuntut serta tenaga pengajar PSIS menjadikan program berkenaan sangat berjaya.

“Sebanyak tujuh lukisan mural bertemakan 1Malaysia, flora dan fauna serta kehidupan dasar laut dihasilkan dan ia mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

“Maklum balas dan kerjasama yang baik daripada pihak sekolah menjadikan Program Negaraku Sehati Sejiwa dapat dilaksanakan dan disempurnakan dengan jayanya,” katanya.

Ab Razak berkata, program sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang sebagai satu usaha murni penuntut dan tenaga pengajar PSIS berkongsi kemahiran dan bakat masing-masing.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 10:41am
d