mutakhir

SL1M bantu graduan cari peluang pekerjaan

Oleh HM Digital

Tanjung Malim: Graduan perlu memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan melalui Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bertujuan membantu graduan mencari peluang pekerjaan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias berkata, graduan perlu bersyukur kerana kerajaan bersungguh-sungguh membantu mereka mendapatkan pekerjaan, sekali gus mengatasi masalah pengangguran di negara ini.

Menurutnya, graduan seharusnya mempersiapkan diri dalam semua aspek sebelum memasuki pasaran pekerjaan supaya semua kerja akan diusahakan menjadi lebih mudah dan berjalan lancar hingga mampu mencipta kejayaan dalam kehidupan.

“Pekerjaan adalah satu ibadah dan jika kita mahu menikmati kehidupan yang sempurna perlulah mencari pekerjaan terutama pekerjaan halal dan disukai Allah, dengan itu baru hidup kita mendapat keberkatan Tuhan.

“Untuk mendapat pekerjaan bukannya mudah, graduan perlu berusaha mencari pekerjaan yang sesuai dengan diri dan jangan terlalu memilih serta cerewet asalkan kerja yang dapat itu mampu menampung kehidupan serta memberi jaminan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah dalam Sesi Motivasi dan Pengkongsian Agama sempena Program SL1M di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, semalam.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 11:23am
d