mutakhir

Dari tepi trek ke tengah litar

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Wanita tinggi lampai ini memang kurang dikenali dalam aktiviti dimonopoli kaum lelaki namun beliau cekal dan tabah mencipta nama dalam sukan berkenaan.

Nursharina Nor Ramlle, 36, yang lebih mesra disapa Ee memulakan kerjaya sebagai pelumba go-kart sejak 2006 dan karier sepenuh masa sebagai pelumba kereta sejak 2013.

Sebelum mengenali apa saja aktiviti membabitkan enjin, beliau peminat aktiviti luar seperti mendaki gunung, wall climbing dan rock climbing.

Galakan sejak kecil daripada bapanya Allahyarham Nor Ramlle Sulaiman yang juga bekas Presiden Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) melayakkan beliau sebagai Juri Antarabangsa Tembok Tiruan.

“Selepas pemergian arwah ayah, saya berhenti daripada kegiatan luar dan hanya menerima undangan sebagai juri sehingga bertemu suami, Mohd Azwan Mohd Zulkifle, 36, kerana dia yang menceburi bidang ini sebelum kami mendirikan rumah tangga.

“Setiap kali suami sertai pertandingan go-kart dan lumba kereta, kami sekeluarga turun memberi semangat kepadanya.

“Tetapi perasaan mahu bersaing di Litar Antarabangsa Sepang membuatkan hati melonjak-lonjak, lalu saya suarakan niat pada suami untuk mencuba kerjaya yang selama ini saya dan anak hanya penonton setianya di tepi trek,” kata ibu tiga cahaya mata itu.

Beliau berkata, seorang pelumba wanita perlu mempunyai kecenderungan, disiplin dan berani menjayakan minat selain wang untuk penjagaan kereta dan peralatan memandu seperti topi keledar, pakaian dan kasut.

Sewaktu berpindah ke Terengganu sekitar 2011, Ee banyak melengkapkan dirinya dengan latihan pemanduan hasil tunjuk ajar suami, malah tidak menyedari dirinya berbadan dua ketika itu.

“Selepas habis berpantang anak ketiga pada 2012, saya mengikut suami untuk latihan pemanduan gymkhana dan awal 2013 kali pertama menyertai pertandingan gymkhana di Terengganu City Night Game.

“Saya wanita tunggal dan perlu bersaing dengan 20 kenderaan lain yang dipandu peserta lelaki tetapi menduduki di tempat keempat untuk keseluruhan perlumbaan,” katanya.

Tidak terhenti di situ, pada tahun sama dengan memandu Perodua Kelisa 1.0L, dia menyertai GRA National Autocross dalam kategori Class A-Production Class Category Below 1600cc Engine Capacity.

Beliau menjulang nama dan dinobatkan juara keseluruhan Kategori Class A 2013 dan juara keseluruhan Kategori Production Class serta menerima Anugerah Wanita Terpantas.

Menurutnya, kos perbelanjaan mencecah RM30,000 kerana pada peringkat permulaan, mereka menggunakan kereta biasa yang dinaik taraf kepada kereta trek dan perlu membuat penambahbaikan enjin, transmisi, brek serta keselamatan.

“Perbelanjaan permulaan agak tinggi tetapi apabila stabil, kos membabitkan yuran penyertaan dan penyelenggaraan saja,” katanya.

Sepanjang 2014 pula, beliau banyak menyertai Time Attack-Gymkhana seperti di Karnival Permotoran Negeri Terengganu (menang di tempat kedua kategori bawah 1300cc), PROTON R3 Gymkhana Challenge Terengganu (kedua kategori terbuka), Ultra Racing Gymkhana Challenge 2014 (kedua kategori wanita) dan TAGK Time Attack Challenge MIMC 2014 Round 2 (kedua kategori wanita).

Pada 2015, beliau lebih serius dalam Time Attack-Circuit Racing dengan bertanding dalam Generation X-Tic Time Attack 2015 (Kategori Wanita Terbuka) dengan memandu Satria 1.3L dalam semua pusingan berlangsung di Speedway PLUS Karting Circuit.

Beliau muncul sebagai juara Kategori Overall Ladies Open Class diikuti Sucimuci Merdeka Time Attack 2016 dan dinobatkan juara Kategori Wanita.

Ditanya mengenai pandangan keluarga, Ee berkata, pada awalnya ibu terkejut kerana beliau beralih minat tetapi akur apabila melihat suami sentiasa berada di sisi saya.

“Anak pun faham tanggungjawab kami dalam perlumbaan sebegini, justeru setiap kali perlumbaan, mereka berada di dalam pit sambil menyiapkan kerja sekolah.

“Bayangkan, saya berlumba di atas litar, suami sibuk sebagai kru merangkap teknikal, sudah pasti tidak dapat memberi tumpuan kepada mereka.

“Tetapi mereka faham, patuh dan mampu mengawal tingkah laku daripada mengganggu pasukan lain,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 11:44am
d