mutakhir

'Dunia ini bukan tempat untuknya'

Oleh HM Digital

Cox’s Bazar: Raut wajah wanita muda ini ‘mendung’ manakala langkahnya lemah longlai seakan menanggung penderitaan yang tidak terhingga.

Rupa-rupanya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik bergerak Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), terbongkar kisah kedukaannya yang baru saja kematian bayi selepas dilahirkan tidak cukup bulan kelmarin.

Shamarish, 21, ditemani suaminya ketika hadir mendapatkan rawatan
di klinik bergerak yang dibuka khusus sempena misi kemanusiaan pertubuhan
itu dalam menghulurkan bantuan kepada pelarian itu.

Ketika didekati penulis bersama penterjemah tempatan Mohamad Zie, ibu muda dari perkampungan Quason, Myanmar itu menceritakan dia demam dan mengalami bisa badan selepas melahirkan bayinya.

Menurutnya, dia selamat melahirkan bayi lelaki pada usia kandungannya baru mencecah lapan bulan dengan bantuan suami dan wanita pelarian lain tanpa sebarang bantuan alatan perubatan sebelum anak kecil itu meninggal dunia.

“Dunia ini bukan tempat untuknya, saya tahu dia kini sedang berbahagia di sana.

“Saya bersyukur sempat menyusukan bayi saya buat kali pertama dan terakhir sebelum dia meninggal dunia di pangkuan saya.

“Detik itu biarpun cuma seketika cukup bermakna buat saya sebagai ibunya,” katanya sebak.

Mengimbau takdir yang membawanya ke kem berkenaan tujuh hari lalu, cerita Shamarish mereka sekeluarga berjaya melepasi sempadan selepas dua hari berjalan.

“Dalam perjalanan ke sempadan, saya sudah tidak larat sangat kerana sudah sarat. Ada masanya, suami mengangkat saya jika saya keletihan untuk berjalan.

“Mungkin tidak cukup rehat kerana terlalu banyak bergerak dan tidak makan lalu memberi kesan kepada kandungan saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 11:49am
d