mutakhir

ANGKASA wakaf bangunan bernilai RM1.56j

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima sebuah bangunan wakaf yang disumbangkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Pusat Perniagaan UDA, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

Bangunan yang bernilai RM1.56 juta itu adalah sumbangan menerusi Dana Wakaf Khas ANGKASA bagi membantu memperkasakan hartanah wakaf di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, menjadi matlamat MAINJ untuk sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk membangunkan harta wakaf di seluruh Johor selagi ia tidak bercanggah dengan kehendak hukum syarak.

"MAINJ diberi kuasa untuk bekerjasama dengan badan atau individu yang bertindak sebagai ejen pengurus kepada MAIN bagi mengurus hartanah wakaf di negeri ini selaras dengan hukum syarak.

"Ucapan tahniah diucapkan kepada ANGKASA di atas kerjasama dan kreativiti yang dijanakan ini dalam memperkasakan hartanah wakaf di negeri ini.

"Dana Wakaf Khas ANGKASA ini adalah sumbangan wakaf daripada warga koperasi di bawah seliaan ANGKASA dan sumbangan ini menyuntik semangat ahli koperasi untuk membuat kebajikan berasakan konsep wakaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Perwakafan serta Penyerahan Bangunan Wakfa daripada ANGKASA kepada MAINJ di Pusat Perniagaan UDA, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden ANGKASA Mutadho Bahrin, Penasihat MAINJ Datuk Noh Gadut dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Md Rofiki Shamsudin.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 4:33pm
d