mutakhir

Pukul sampai mati, dua suspek diburu

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

POLIS buru dua lelaki berusia 20-an dan 30-an kerana disyaki memukul seorang lelaki hingga mati dalam pergaduhan di tempat pembuangan sampah di Blok B, Flat Kampung Melayu, Georgetown, malam Jumaat lalu.

Mangsa, Lim Kok Boon, 33, yang tinggal di Bandar Baru, Air Itam disahkan meninggal dunia 10 pagi tadi selepas pengsan dan cedera teruk di kepala dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa dipercayai dipukul kedua-dua suspek, Mohd Yusri Mohamed, 38, dan Mohammad Razman Saini Anuar,

23, menggunakan topi keledar yang turut ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian, suspek sedang membungkus dadah

di tempat pembuangan sampah itu sebelum mangsa tiba-tiba muncul menyebabkan suspek terkejut dan terus membuang dadah berkenaan kerana menyangka kehadiran polis.

Menurutnya, selepas memukul mangsa, kedua-dua suspek melarikan diri dari tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan orang ramai yang memiliki maklumat diminta menghubungi talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 5:39pm
d