mutakhir

Majikan aniaya amah ditahan

Oleh Mohd Hasbi Sidek

LELAKI berusia 47 tahun ditahan polis malam Jumaat lalu selepas didapati enggan membayar gaji pembantu rumahnya sejak 2008 selain tidak membenarkan wanita warga Kemboja itu pulang ke kampung halaman.

Malah mangsa turut dirotan menggunakan penyangkut baju dan ditampar majikan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa yang berusia 27 tahun melarikan diri dari rumah majikannya di Petaling Jaya sebelum membuat laporan polis, Jumaat lalu.

"Berdasarkan aduan mangsa, dia dipaksa bekerja dari 5.30 pagi hingga 11.30 malam dengan bayaran RM500 sejak 2008.

"Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menerima bayaran gaji seperti dijanjikan selain tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman," katanya.

Mohd Zani berkata, susulan daripada laporan diterima, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun di Petaling Jaya pada hari sama.

"Mangsa kini berada di rumah perlindungan. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 5:51pm
d