mutakhir

KPWKM dah buat laporan

Oleh Hayati Ibrahim

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), hari ini berhubung penularan video menghentam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak beberapa hari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Karim berkata, beliau percaya video berkenaan ditularkan semula oleh indvidu yang tidak bertanggungjawab atas kepentingan politik kerana video berkenaan dimuatnaik pada 2012.

Malah, katanya video sama juga sudah beberapa kali ditularkan sebelum ini, termasuk awal tahun ini dan beberapa hari lalu.

"Saya tidak tahu apa niat sebenar orang yang keluarkan balik video ini. Sebarang isu berkaitan kebajikan kita tidak perlu politikkan, tambahan pula cerita yang dikeluarkan dalam video itu tidak betul.

"Kita juga sudah berjumpa dengan lelaki berkenaan, hari ini untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripadanya,"katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Video berdurasi 14 minit 28 saat itu mendakwa kononnya JKM tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak yang menginap di institusi berkenaan.

Ia didedahkan bekas seorang anak yatim yang ditempatkan di institusi kendalian JKM di Melaka yang mendakwa JKM tidak bertanggungjawab terhadap masa depan anak di bawah kendaliannya selepas berumur 21 tahun sehingga terpaksa merempat.

Rohani menjelaskan, lelaki itu adalah mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan sejak bayi dan diletak di bawah penjagaan JKM sehingga berusia 18 tahun mengikut undang-undang.

Katanya, mengenai dakwaan dalam video berkenaan, kementerian sudah membuat penambahbaikan sejak 2012 termasuk menubuhkan empat 'Purple Home' yang menempatkan kanak-kanak berusia 18 tahun di bawah pemantauan JKM.

"Ketika ini terdapat empat 'Purple Home' yang menempatkan anak-anak kami yang berusia 18 tahun ke atas. Kami memantau mereka ini walaupun ada dalam kalangan mereka yang sudah bekerja dan menuntut di universiti.

"Malah, kami juga turut melaksanakan program 'Suai Kasih' bagi memberi peluang mereka mendapatkan pekerjaan selepas berusia 18 tahun ke atas, selain membimbing mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya.

Beliau berkata, Kementerian juga bercadang memberi kaunseling kepadanya bagi mengelakkan dia digunakan pihak tertentu untuk kepentingan peribadi atau politik.

"Dia sendiri pernah mengaku dia dibayar oleh pihak berkenaan supaya membuat pengakuan atau dakwaan yang tidak betul mengenai JKM," katanya.

Berita berkaitan:

Ditular pihak yang ada agenda tertentu

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 6:36pm
d