mutakhir

Tahniah!

Oleh Nursyahirah Marzuki

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, mencipta sejarah apabila menjadi sekolah aliran agama pertama yang berjaya menerima pengiktirafan International Baccalaurreate (IB) World School daripada badan pengiktirafan pemdidikan antarabangsa, International Baccalaurreate Organization (IBO).

Sekolah berkenaan menerima pengiktirafan itu pada 17 Mei lalu selepas berjaya melaksanakan sistem pengajaran dan pembelajaran yang menepati kehendak IB bagi tempoh lima tahun.

Tiga lagi sekolah turut menerima pengiktirafan berkenaan iaitu Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Baharu yang menerima pengiktirafan pada 20 September 2016, Kolej Tunku Kurshiah (23 September 2016) dan SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang (27 September 2016).

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana setakat ini sudah sembilan sekolah di negara ini menempa nama di peringkat antarabangsa sebagai sekolah IB World School.

"Syabas dan tahniah kepada empat sekolah yang terpilih kerana berjaya mengikut jejak langkah lima sekolah sebelum ini sekali gus membuktikan keupayaan dan kecemerlangan dalam meraih pengiktirafan ini.

"Tempoh masa yang dilalui oleh sekolah ini yang berbekalkan semangat dan kesungguhan warganya ternyata tidak sia-sia malah, membuahkan hasil membanggakan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan IB World School- Middle Years Programme di Putrajaya hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Profesionalisme Keguruan Datuk Dr Amin Senin.

Katanya, pengiktirafan yang diterima itu jelas membuktikan tahap keupayaan dan profesionalisme guru di Malaysia adalah setanding dengan amalan piawaian standard antarabangsa.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 9:22pm
d