mutakhir

Geng Topi tumpas

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

GENG Topi yang terbabit dalam kejadian samun telefon pintar di pasar raya di Jempol pada Jumaat lalu, ditahan polis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, kumpulan yang dianggotai lima lelaki berusia 31 hingga 36 tahun itu ditahan antara 8 pagi hingga 10.30 malam di beberapa lokasi berasingan di Melaka.

Menurutnya, polis berjaya menemui semula 10 daripada 11 telefon pintar dan tablet yang disamun mereka.

"Suspek dipercayai mahu menjual telefon berkenaan kepada individu lain, namun tidak sempat berbuat demikian.

"Siasatan awal mendapati mereka menyamun untuk membeli dadah. Ada antara suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, hari ini.

Katanya, semua suspek yang ditahan juga positif dadah.

Harian Metro kelmarin melaporkan, dalam kejadian jam 11.10 pagi, salah seorang suspek menyembur cecair kimia ke muka pengawal keselamatan sebelum bertindak mengambil telefon dan tablet di ruang pameran pasar raya sebelum melarikan diri dengan Perodua Myvi.

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 9:47pm
d