mutakhir

MARA Digital tetap hangat

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Perniagaan di pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) MARA Digital di Medan MARA, di sini, terus mendapat sambutan, malah ada peniaga mengaku boleh mendapat semula modal hanya dalam masa sebulan.

Peniaga, Hendrawan Rudi, 24, berkata, dia tidak mengalami masalah walaupun baru berniaga di pusat itu sejak tiga bulan lalu.

“Saya mampu mendapat semula modal berniaga kira-kira RM10,000 dalam masa sebulan. Sebelum ini, saya hanya bekerja dengan seorang pemilik kedai yang dibuka di sini, tetapi apabila melihat potensi yang ada, saya terus mengikuti kursus membaiki telefon selama tiga bulan untuk membuka perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di pusat berkenaan turut mendapati kedai aksesori telefon mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pengguna, sekali gus mampu menyaingi pusat ICT terkenal lain seperti Plaza Low Yatt, Digital Mall dan Kota Raya.

Kebanyakan pengguna yang mengunjungi kedai berkenaan berpendapat harga yang ditawarkan sangat murah dan mampu milik.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 4:24am
d