mutakhir

Rengekan ibu tua mahu bertemu anak

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Naluri keibuannya tidak pernah menipu, malah keinginan untuk bertemu anak masih tetap mekar biarpun kudratnya kini terbatas dengan tubuhnya terbaring lesu di Pusat Penjagaan Warga Emas Green Acres, Taman Bukit Kempas, di sini.

Biarpun lumpuh dan bicaranya sukar difahami, tetapi riak wajah serta rengekan sedih suara ibu tua ini sudah cukup menggambarkan perasaannya untuk bertemu semula anaknya selepas 16 tahun terpisah.

Menurut pengurus pusat jagaan itu, Yeo Kok Leong, wanita terbabit, Pungut Jumadi, 69, yang berasal dari Segamat mula ditempatkan di pusat jagaan berkenaan pada 2001 apabila dihantar oleh anak lelakinya, Syahrunizal Mohamad Ali.

“Kami menerima panggilan daripada anak mak cik yang dipanggil Syah. Ketika itu Syah berada di Singapura dan meminta kami mengambil ibunya dari Hospital Tan Kok Seng, Singapura selepas ibunya menghidap angin ahmar.

“Syah mahu ibunya tinggal di Malaysia dan ditempatkan di pusat jagaan ini. Selepas dia membuat pendaftaran, dia tidak datang lagi ke sini,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai ahli keluarga Pungut boleh menghubungi Yeo di talian 07-2213393 ataupun 016-7150393.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 5:58am
d