mutakhir

Hanya tinggal lima kampung

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hasan

Kuala Lumpur: Jaringan Hak Asasi Manusia Burma (BHRN), mendapat maklumat bahawa baki lima perkampungan Rohingya di kawasan Rathedaung membabitkan 11,000 penduduk kini dalam keadaan sangat terdesak untuk meneruskan kehidupan.

Pengarah Eksekutif BHRN Kyaw Win berkata, perkampungan itu ialah Nyaung Bin Gyi, Ah Naut Pyin, Sin Khon Taing, Arkar Taung and Kan Seik.

Menurutnya, sebelum kempen operasi ganas tentera junta, terdapat 23 perkampungan Muslim di kawasan Rathedaung, namun kini hanya tinggal lima kampung berkenaan apabila kampung lain dimusnahkan dan dibakar.

“Penduduk kampung dilarang untuk keluar mencari makanan, selain tidak dibenarkan keluar menyelamatkan diri dari kawasan mereka.

“Situasi terkini yang dimaklumkan kepada pihak kami, bekalan makanan yang tinggal hanya cukup untuk tempoh kira-kira dua minggu lagi,” katanya menerusi kiriman e-mel kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, komuniti antarabangsa perlu mengambil tindakan susulan kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar dan militia kerana ini adalah tindakan genosid.

Minggu lalu, Permanent People’s Tribunal (PPT) yang bersidang di Universiti Malaya (UM) mendapati Myanmar melakukan penghapusan etnik berdasarkan bukti dan pengakuan mangsa.

Keganasan terbaru di Rakhine, Myanmar sejak 25 Ogos lalu menyebabkan lebih 400,000 etnik Rohingya dilapor melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Tiga wilayah utama di Rakhine iaitu Maungdaw, Rathedaung dan Buthidaung antara kawasan paling terjejas membabitkan hampir 25 perkampungan.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 6:12am
d