mutakhir

'Baju sekolah saya hanyut'

Oleh HM Digital

Kangar: Pakaian dan peralatan sekolah dihanyutkan air bukan alasan bagi murid tahun satu, Mohd Hakim Shahizat untuk tidak hadir ke sekolah semalam.

Walaupun rumahnya di Kampung Tok Kuning, Tebing Tinggi, di sini, ditenggelami air sehingga 0.5 meter, Mohd Hakim masih bersemangat untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Panggau, di sini.

“Baju sekolah, alat tulis dengan buku saya semua hilang...tidak sempat bawa keluar sebab air naik dengan cepat...lagi pun kami berpindah ke pusat pemindahan sementara pada waktu malam.

“Terima kasih kepada guru sebab walaupun saya dan kawan-kawan tidak bawa apa-apa hari ini, kami masih boleh belajar seperti biasa kerana dibekalkan buku dan peralatan sekolah,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Hakim mengakui lebih bersemangat untuk ke sekolah memandangkan mereka sekeluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di sekolah berkenaan.

“Bangun pagi terus rasa nak masuk kelas sebab dah tinggal di dalam sekolah. Rugi kalau saya tidak datang sekolah sebab takut ketinggalan, lagi pun peperiksaan akhir tahun bulan depan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Panggau, Rosmani Man, berkata, kehadiran murid di sekolah berkenaan menurun semalam berikutan 45 orang tidak dapat hadir kerana masalah banjir.

“Daripada 163 murid, hanya 118 saja yang dapat hadir. Selebihnya itu mempunyai kekangan untuk hadir kerana mereka berada di pusat pemindahan yang lain.

“Seperti juga di sini, terdapat murid sekolah lain yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke sekolah kerana jalan utama di Tebing Tinggi masih ditenggelami air,” katanya.

Rosmani berkata, walaupun beberapa kelas dijadikan pusat pemindahan ia tidak menghalang sesi pembelajaran berlangsung kerana pihak sekolah menggunakan kelas lain termasuk perpustakaan bagi memudahkan murid belajar.

“Bagi murid yang kehilangan peralatan sekolah juga kita sediakan untuk mereka bagi memastikan mereka dapat belajar seperti biasa,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 6:18am
d