mutakhir

Terjebak pengaruh rakan

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

REMAJA lelaki berusia 17 tahun antara 57 penagih yang ditahan dalam Op Tapis di sekitar Jempol, sejak malam tadi sehingga pagi ini.

Dalam operasi yang diadakan pada 11 malam hingga 10 pagi terbabit, polis dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan remaja yang mahu dikenali sebagai Zul, di rumah keluarganya di Felda Palong.

Menurut Zul, dia baru sebulan mengambil dadah selepas terpengaruh dengan rakan.

"Saya berhenti sekolah ketika di tingkatan empat dan bekerja di sebuah bengkel di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.

"Saya mempunyai ramai kawan dan mereka memperkenalkan syabu kepada saya dan menyuruh mencubanya. Sejak itu, saya mula mengambilnya," katanya selepas ditahan polis, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, pihaknya mensasarkan FELDA di daerah Jempol yang menjadi kawasan panas penagihan dadah.

Menurutnya, hasil ujian air kencing terhadap semua penagih yang ditahan, mendapati 25 orang positif syabu, heroin (28) dan ganja (4).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Turut serta dalam operasi itu, Pengarah AADK Negeri Sembilan Ismail Ahmad Khairi dan Pegawai Turus Risikan, Operasi dan Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Deputi Superintendan Yap Huat Tian.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 3:29pm
d