mutakhir

Harap tak timbul kesulitan

Oleh Mary Victoria Dass

SISTEM imbasan cap jari yang dijangka diwujudkan di kaunter pemeriksaan masuk pelawat ke Singapura diharap tidak menimbulkan kesulitan kepada rakyat Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penguatkuasaan sistem imbasan cap jari yang bakal diperkenalkan republik itu sepatutnya tidak mengganggu keselesaan orang ramai.

“Apa jua dasar atau prosedur diperkenalkan pihak berkuasa republik itu diharapkan tidak menimbulkan kesukaran kepada rakyat negara ini yang keluar dan masuk Singapura.

“Saya yakin dasar yang diperkenalkan Singapura tidak akan menyebabkan kita mengalami kesusahan atau kesesakan.

“Ia sepatutnya memudahkan akses kepada orang ramai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Alibaba Global Course di Forest City, Gelang Patah, Johor, hari ini.

Liow berkata, Malaysia juga akan melaksanakan sistem Teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi meningkatkan sistem keselamatan terutama pelawat yang keluar dan masuk ke negara ini.

“Malaysia mempunyai sistem untuk memastikan keselamatan dalam negara kita, kenderaan yang masuk perlu ada RFID serta caj bayaran jalan," katanya.

Semalam, pihak berkuasa Singapura dilaporkan akan memperluaskan ujian terhadap sistem imbasan cap jari bagi semua pelawat asing di kaunter pemeriksaan masuk ke republik itu tidak lama lagi.

Sebelum ini, ujian sistem imbasan cap jari hanya dikuatkuasakan kepada penumpang bas, kereta api, lori dan kenderaan barangan sejak April tahun lalu.

Difahamkan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) akan memperluas secara progresif percubaan sistem BioSkrin untuk pelawat berkereta di pusat pemeriksaan masuk di Tuas dan Woodlands.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 6:19pm
d