mutakhir

Rebah di padang

Oleh Ramli Ibrahim

JURULATIH bola sepak remaja Majlis Sukan Negeri Kelantan meninggal dunia selepas rebah di padang Sekolah Menengah Sains Gua Musang, hari ini.

Mat Jeli@Mazeli Ismail, 48, berasal dari Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh rebah dipercayai akibat serangan jantung pada 3.50 petang sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM).

Dia bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir ketika rawatan pada 4.15 petang.

Rakannya, Saufi Mat Zain, 50, berkata, dia bersama arwah sebelum itu terbabit dengan klinik bola sepak yang membabitkan 211 murid di padang berkenaan.

Katanya, klinik bola sepak itu berlangsung dua hari sehingga esok, namun ditangguhkan berikutan kematian arwah.

"Sebelum sesi latihan, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Saya bersama arwah ketika dia tiba-tiba mengadu pening dan rebah," katanya hari ini.

Saufi yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang Tinggi, Pasir Puteh berkata, klinik bola sepak itu juga pertama kali diadakan di Gua Musang.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Abak, Pasir Puteh, malam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Abdullah Daud ketika dihubungi mengesahkan kematian itu.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 8:20pm
d