mutakhir

200,000 penuntut seluruh dunia manfaatkan MOOC

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 50,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Australia dan Amerika Syarikat sedang mengikuti Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOC) di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia adalah 25 peratus daripada keseluruhan 200,000 penuntut dari 170 negara luar menggunakan kaedah berkenaan yang diperkenalkan kementeriannya, dua tahun lalu.

Katanya, semua universiti awam di negara ini sudah membangunkan sistem yang membolehkan subjek diajar bukan saja untuk pelajar di universiti terbabit tetapi boleh dikongsi dengan universiti lain di Malaysia, mahupun luar negara.

"Secara keseluruhannya, seramai 600,000 penuntut dalam dan luar negara mengikuti 450 kursus yang ditawarkan di universiti awam dan swasta serta politeknik atau kolej komuniti melalui MOOC.

"Jumlah itu membuktikan kita berada di landasan yang betul dalam aspek Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pembelajaran Maya Universiti Antarabangsa 2017 (IUCEL 2017) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, hari ini.

Beliau turut melancarkan Garis Panduan Pembangunan dan Penyampaian MyMOOC (GPPPMM) bertujuan menyelaras kursus ditawarkan melalui platform MOOC.

Malaysia menjadi negara pertama dunia yang mengiktiraf pemindahan kredit menerusi pembelajaran secara MOOC.

Melalui cara itu, institusi pengajian tinggi mampu menjana pendapatan dengan menawarkan MOOC kepada penuntut lain dan mereka boleh dicaj sekiranya ingin mendapatkan pindahan kredit.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 9:57pm
d