mutakhir

Raih RM3 bilion

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kehadiran 921,000 pesakit luar negara mendapatkan rawatan di Malaysia menyumbang kepada lebih RM3 bilion pendapatan negara tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, jumlah itu berdasarkan kepada kiraan kasar setiap RM1 yang dibelanjakan di hospital, RM3 dibelanjakan untuk perbelanjaan berkaitan seperti pengangkutan, makan minum, membeli-belah dan lain-lain.

Katanya, berdasarkan kos rawatan berjumlah RM1.2 bilion oleh pesakit luar negara tahun lalu, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menyasarkan peningkatan kepada RM1.8 bilion tahun depan.

“Pelancongan penjagaan kesihatan dikenal pasti kerajaan sebagai antara penyumbang pertumbuhan ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“Kerajaan sedar ada banyak potensi dalam sektor ini dengan mengambil kira sektor kesihatan yang matang dan berkualiti sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Persidangan InsigHT2017 anjuran MHTC di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Sherene Azli dan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Jacob Thomas.

Persidangan tahunan kali kedua selama dua hari itu mengumpulkan pengamal daripada industri kesihatan seluruh dunia untuk membincang dan menilai cabaran terkini, peredaran semasa dan pandangan umum dalam industri pelancongan serta penjagaan kesihatan.

Subramaniam berkata, sehingga kini 74 hospital swasta menjadi ahli MHTC dengan 19 daripadanya dikelaskan sebagai hospital elit yang menjadi tumpuan pesakit luar negara.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 4:56am
d