mutakhir

Kaut hasil RM30,000 tuai cili

Kuala Nerus: Peserta Program Penuaian Terbesar Cili (PPTC) di Kampung Raja, Tepoh, dekat sini, mampu meraih pendapatan antara RM15,000 hingga RM30,000 bagi satu pusingan proses tuaian dalam masa empat bulan sekali.

Peserta PPTC, Che Wan Mohd Saidi Che Wan Sulong, 38, berkata, untuk setahun, cili boleh ditanam dua pusingan dan tempoh memungutnya pula antara tiga hingga empat bulan.

Menurutnya, hasil tuaian yang diperoleh kemudian dijual terus kepada pemborong di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu.

Katanya, dia mengusahakan tanaman cili di tanah berkeluasan 0.8 hektar dan menjadikan pekerjaan sebagai petani sejak 20 tahun lalu kerana ini pekerjaan turun-temurun keluarganya.

“Pernah saya memperoleh sebanyak RM30,000 dalam tempoh empat bulan, tetapi adat bertani ada kalanya untung dan ada juga yang rugi tetapi berbudi pada tanah banyak terbukti memberi rezeki.

“Permintaan cili amat tinggi tetapi harga pasarannya tidak menentu dan paling rendah pernah saya jual iaitu RM4 sekilogram dan paling tinggi RM24 sekilogram,” katanya.

Beliau ditemui di majlis pelancaran PPTC di Kampung Raja dalam usaha mencatat hasil tuaian pokok ciri terbanyak dalam Malaysia Book Of Records (MBOR), semalam.

Menurutnya, harga cili meningkat terutama pada musim perayaan dan dalam satu pusingan tuaian dia mampu menjual sehingga tiga tan cili jenis kulai kampung.

Katanya, walaupun memerlukan perhatian lebih dalam penjagaan pokok cili namun hasilnya lumayan dan dia berpuas hati dengan kerja yang dilakukannya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian negeri, Noaini Mamat berkata, PPTC itu membabitkan 17 peserta di seluruh negeri dengan sasaran pungutan buah cili membabitkan 31,267 pokok.

“Untuk di kawasan Kampung Raja sebanyak 7,000 pokok dijangka dituai bagi menjayakan program yang akan tercatat dalam MBOR itu.

“Di negeri ini sebanyak 15 lokasi terpilih dan sasaran untuk mencapai jumlah pokok melebihi 30,000 akan tercapai berdasarkan tinjauan dan penilaian yang sudah dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 5:22am
d