mutakhir

Pengerusi MyWatch bebas tuduhan

Petaling Jaya: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam daripada tuduhan menghina bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman Facebook miliknya.

Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar membuat keputusan itu terhadap Sanjeevan, 32, tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Sanjeevan didakwa menghantar komen jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui laman Facebook miliknya iaitu ‘Sri Sanjeevan Ramakrishnan’, yang dibaca pada jam 11.30 pagi, 5 September 2016.

Dia dituduh melakukan kesalahan berkenaan di kios kawasan USJ 1, Subang Jaya, di sini, pada jam 1.48 tengah hari, 3 September 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 5:29am
d