mutakhir

Hanya ada satu pintu

Oleh Khairul Azran Hussin

Shah Alam: Sebanyak 104 pusat tahfiz dan sekolah pondok di Selangor rata-rata didapati gagal mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

Kesalahan yang dikesan antaranya sistem pendawaian tidak sempurna, tiada alat pemadam api dan hanya mempunyai satu pintu keluar sekiranya berlaku situasi kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Azmi Osman berkata, hasil pemeriksaan pihaknya sejak minggu lalu mendapati semua pusat dan sekolah itu masih mempunyai kekurangan serta ciri keselamatan yang perlu ditambah baik.

“Namun, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap pengusaha. Kita memberi nasihat dan mengeluarkan laporan kepada pengusaha supaya segera menambah baik ciri keselamatan.

“Kajian mengenai keadaan keselamatan pusat tahfiz dan sekolah pondok ini perlu disegerakan demi kebaikan semua pihak. Dalam tempoh sebulan, kita perlu menyelesaikan kajian dan mengemukakan laporan lengkap,” katanya pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah JBPM Selangor Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, semalam.

Bacaan ikrar membabitkan 110 pegawai JBPM negeri itu diketuai oleh Azmi dengan disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Kata Azmi, pasukan khas turut ditubuhkan bagi mengesan pusat tahfiz dan sekolah pondok tidak berdaftar di negeri ini untuk menjalani pemeriksaan pematuhan aspek piawaian keselamatan.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 6:08am
d