mutakhir

2 cedera langgar tiang elektrik

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Dua pekerja Telekom Malaysia Berhad (TM) cedera selepas van dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Kuala Klawang, dekat Jabatan Kerja Raya (JKR), semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kedua-dua lelaki berusia 30-an dan 50-an dalam perjalanan dari Kuala Klawang ke Seremban sebelum terbabas melanggar tiang elektrik.

Kemalangan itu mengakibatkan pemandu van terbabit tersepit manakala rakannya yang duduk di bahagian penumpang hadapan dapat keluar menyelamatkan diri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu Mohd Zakri Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.41 tengah hari sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi.

“Apabila bomba tiba, hanya seorang mangsa masih tersepit manakala seorang lagi berjaya keluar dengan bantuan orang awam. Bomba mengambil masa lima minit mengeluarkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa hanya cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 6:11am
d