mutakhir

Setuju saranan bomba

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sebagai langkah keselamatan, Pusat Pengajian Maahad Tahfiz Al Quran Derga, Jalan Langgar, di sini, akan memasang 10 kamera rakaman litar tertutup (CCTV), tangga tambahan di setiap lima blok, siren kecemasan dan paip laluan air untuk memudahkan urusan jika berlaku kebakaran.

Pengetuanya, Yahya Saad berkata, jumlah keseluruhan diperlukan adalah RM10,000 dan cadangan itu akan disegerakan bagi mempertingkatkan kawalan di pusat maahad tahfiz itu.

Beliau berkata, setakat ini maahad itu diasingkan untuk pelajar lelaki dan perempuan yang terletak antara jarak 100 meter itu hanya mempunyai 14 alat pemadam api dan perlu ditambah lagi empat lagi untuk memudahkan pemadaman dilakukan jika berlaku kecemasan.

Katanya, dia juga sudah berbincang dengan sebuah syarikat pembekal CCTV untuk pemasangan alat itu di kawasan maahad untuk memantau pergerakan keluar masuk sama ada pelajar atau orang luar di kawasan itu.

“Ia hanya untuk keselamatan dan setakat ini orang luar yang masuk ke sini hanya untuk menunaikan solat di masjid dalam kawasan ini, tapi apabila ada CCTV, senanglah kita pantau apa yang berlaku sama ada siang dan malam.

“Sebelum ini, pernah berlaku kebakaran kecil disebabkan penggunaan ubat nyamuk dan sejak itu kami mengambil langkah untuk melarang sebarang penggunaan ubat nyamuk atau penyambungan elektrik terutama pada waktu malam untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika lawatan pegawai dari Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, semalam.

Katanya, maahad tahfiz itu beroperasi sejak 29 tahun lalu dan melahirkan ramai pelajar yang berkebolehan dalam bidang al-Quran dan setakat ini jumlah pelajar mencecah 160 orang iaitu 130 pelajar lelaki dan selebihnya perempuan.

Sementara itu, Ketua Unit Penghapusan Bahaya Kebakaran, JBPM Kedah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Shahril P Ramli berkata, pemeriksaan dilakukan bertujuan untuk penambahbaikan sistem keselamatan di setiap maahad tahfiz di negeri ini sama ada berdaftar atau tidak.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 6:14am
d