mutakhir

Tersangkut atas pokok

Oleh Siti Fatimah Nasir

Gombak: Seorang lelaki warga Mexico mengalami detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada pokok ketika sertai acara sukan ekstrem ‘Gua Damai International Base Jump 2017’ di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, di sini, semalam.

Johnny Saavedra, 59, berkata, dia berada dalam keadaan gementar kerana jika tersilap langkah tindakannya mendaratkan payung terjun di atas pokok boleh membawa maut.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi Saavedra apabila dia tidak cedera.

“Saya sedaya upaya cuba mengawal payung terjun supaya mendarat ke kawasan selamat iaitu di atas pokok selepas gagal mendarat di kawasan padang berhampiran.

“Memang ketika itu saya takut dan berasa sedikit cemas apabila tersasar dari kawasan pendaratan sepatutnya. Bagaimanapun, saya cuba mengawal perasaan dan menggunakan pengalaman sebaik mungkin untuk mengurangkan risiko kecederaan akibat kejadian itu,” katanya.

Menurut Saavedra, dia sudah berkecimpung lama dalam sukan ekstrem ini dan melakukan lebih 1,000 terjunan bebas di serata dunia.

“Insiden ini biasa berlaku setiap kali melakukan pendaratan dan seseorang penerjun itu perlu fokus dan tidak mudah gelabah jika situasi seperti ini berlaku,” katanya.

Hadir sama, Exco Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman.

Sementara itu, Pengurus Besar Wira Adventure Consultan, Mustapa Al-Bakri Omar berkata, program tahunan kali ke-10 itu berjaya menarik 110 penyertaan peserta dari 13 negara termasuk Malaysia, Itali, Perancis dan Kanada.

“Program dianjurkan ini bertujuan mempromosi Selangor di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan sukan ekstrem.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, kami bercadang meneruskan program yang sama pada masa akan datang kerana yakin ia dapat menarik lebih ramai penyertaan daripada pelancong luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 6:36am
d