mutakhir

Sarang judi diserbu

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

POLIS menahan lima individu antara 18 hingga 41 tahun yang disyaki terbabit dengan aktiviti perjudian loteri dan 'Wah Hui' dalam tujuh serbuan di beberapa premis sempena Op Dadu Khas di Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota daripada Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan serbuan itu di kawasan Kota Kinabalu, Manggatal dan Inanam.

"Dalam serbuan bermula 3 petang itu, polis turut merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam aktiviti perjudian berkenaan termasuk tujuh telefon bimbit, dua alat pengimbas, kertas memaparkan angka-angka pertaruhan serta wang tunai RM2,546.

"Semua suspek yang ditahan sudah di bawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Judi 'Wah Hui' yang memerlukan seseorang mengemukakan pertaruhan wang dan meneka jawapan kepada teka-teki dalam bentuk pantun, amat popular di Sabah.

Ada kalanya, pilihan jawapan diberikan dalam bentuk angka seperti 1, 4 dan 5.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 11:12am
d