mutakhir

Samun guna pistol tiruan

Oleh Nur Saliawati Salberi

POLIS berjaya menumpaskan geng samun bersenjata dikenali sebagai Geng Seman dengan tertangkap lelaki dipercayai ketua kumpulan itu di sebuah stesen minyak di Sungai Udang, Melaka, kelmarin.

Lelaki berkenaan yang juga penganggur ditahan kira-kira 1 pagi selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, suspek dikatakan menggunakan pistol tiruan ketika melakukan samun bagi menakutkan mangsa supaya menyerahkan wang.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun itu dikatakan bergerak berdua dengan seorang lagi rakan yang masih bebas yang bertindak sebagai penunggang motosikal.

"Daripada lapan kes membabitkan suspek, lima kejadian menggunakan pistol dan tiga lagi tanpa senjata. Mereka mensasarkan kedai serbaneka 24 jam serta pam minyak.

"Siasatan awal dilakukan, suspek aktif melakukan samun di sekitar Melaka Tengah, sejak awal Januari lalu," katanya.

Abdul Jalil berkata, selain mempunyai rekod jenayah lampau, suspek juga dikehendaki polis berkait kes Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) dan turut positif methamphetamine ketika ditahan.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 1 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 KK dan Seksyen 32(2) Akta Senjata 1960 selain polis kini giat mengesan rakannya yang masih bebas.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 3:38pm
d