mutakhir

Kemik kena penjara 10 tahun [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menetak seorang pemandu Honda City yang membunyikan hon pada Julai tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, M Suhaimi Mohd, 32, atau dikenali sebagai Kemik didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan parang atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang parah ke atas mangsa, Noor Hazlim Mamat, 44, menggunakan sebilah parang di tepi Jalan Buluh Gading, pada 3.30 petang, 7 Julai 2016.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Sofian Arifin.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital apabila ditetak dengan parang oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Buluh Gading selepas menyembunyikan hon kepada lelaki yang memotong keretanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 4:02pm
d