mutakhir

'Haruan' tak mengaku makan anak

Oleh Nur Saliawati Salberi

SEORANG bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pagi tadi, atas pertuduhan melakukan seksual fizikal ke atas anak perempuannya, Julai lalu.

Tertuduh berusia 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak dengan cara menyentuh bagi maksud seksual bahagian belakang badan, peha dan tangan mangsa yang berusia 11 tahun tujuh bulan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Alor Gajah, di sini, jam kira-kira 10 malam pada 26 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 puluh tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan jaminan diberi kepada tertuduh dengan alasan dikhuatiri jika lelaki terbabit mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober depan untuk serahan dokumen termasuk laporan perubatan dan kimia serta tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 4:19pm
d