mutakhir

Empat bulan kemurungan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

WANITA yang terjun dari tingkat lima Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, 5.30 petang semalam difahamkan mengalami kemurungan ketara sejak empat bulan lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, mangsa sudah menjalani pemeriksaan imbasan serta X-ray dan kecederaan yang dihadapi adalah patah tulang belakang, tulang tumit kaki kanan serta sendi peha kaki kanan.

Bagaimanapun katanya, mangsa stabil dan kini di bawah penjagaan Pakar Ortopedik HSB.

"Memandangkan kecederaan adalah stabil maka dia dijadualkan untuk pembedahan seawal minggu hadapan.

"Secara keseluruhan, keadaannya adalah stabil dan memuaskan," katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Norhizan berkata, begitupun, sehingga kini punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.

"Namun pihak hospital difahamkan bahawa dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini dia mengalami masalah kemurungan yang ketara," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita sakit mental berusia 33 tahun patah tulang belakang selepas terjun dari tingkat lima HSB.

Mangsa dikatakan datang ke HSB untuk melawat rakannya sebelum naik ke tingkat lima dan terjun serta terhempas di tingkat dua.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Yazri Ismail dilaporkan berkata, mangsa ke HSB pada waktu melawat kemudian ke tingkat lima dan membuka tingkap sebelum terjun.

"Hasil temubual dengan keluarganya, mangsa disahkan menghidap sakit mental," katanya.

Berita berkaitan

'Naik ke tingkat lima, buka tingkap dan terjun [METROTV]'

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 4:22pm
d