mutakhir

Bayar RM20,000 saja

Oleh Helmy Abd Rahman

SEBANYAK 50 unit kediaman membabitkan kos keseluruhan RM2 juta akan dibina menerusi projek My Beautiful New Home (MyBNHOME) di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Marang tidak lama lagi.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Kementerian Kewangan sudah meluluskan pelaksanaan projek di atas tanah seluas 1.8 hektar itu.

Katanya, projek itu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan kerajaan negeri komited untuk membantu rakyat mendapat kediaman sendiri pada harga mampu milik.

"Kos setiap rumah berjumlah RM40,000, tetapi diberikan subsidi sebanyak RM20,000 dan bermakna, pemilik hanya perlu membayar RM20,000 saja.

"BSN (Bank Simpanan Nasional) menyediakan kemudahan pinjaman dengan tempoh bayaran balik selama 30 tahun yang mana pemilik hanya perlu membayar antara RM200 hingga RM250 saja sebulan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pembayaran Dividen TDM Berhad (TDM) dan Perkongsian Keuntungan Kepada Agensi Kerajaan Negeri di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi TDM Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengarah Urusan Kumpulan TDM, Datuk Mohamat Muda.

Ahmad Razif berkata, program MyBNHOME akan turut diperluaskan di daerah lain pada masa depan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri memperkenalkan JOBS Tranformasi Terengganu Baharu (JOBSTTB) kepada graduan anak Terengganu yang masih menganggur untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran di agensi dan anak syarikat milik kerajaan negeri selama enam bulan.

"Sebanyak tujuh bidang latihan ditawarkan iaitu pengurusan, pebuatan, pembinaan, pertanian, perikanan, veterinar dan pelancongan dan sepanjang mengikuti kursus ini, kerajaan negeri akan membayar elaun sebanyak RM1,000 sebulan kepada peserta.

"Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui atas talian di tgtp.terengganu.gov.my yang akan dibuka mulai 1 Oktober ini," katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 6:02pm
d