mutakhir

Bapa, ibu ayam di kelab malam ditahan

Oleh Hayati Ibrahim

TIGA lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki bapa serta ibu ayam ditahan di sebuah kelab malam di Kepong, Kuala Lumpur dalam Ops Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) awal pagi hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, keempat-empat mereka adalah penyelia aktiviti tidak bermoral kepada semua warga negara asing yang berada di premis berkenaan.

Katanya, operasi yang dijalankan Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa JIM itu bermula pada jam 1 hingga 2.35 pagi, dan membabitkan 35 pegawai.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan oleh Unit Quick Response Team (QRT) yang mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral dalam premis berkenaan yang disyaki membabitkan pelayan pelanggan (GRO) warga asing sebagai pelacur.

"Dalam serbuan itu, kami memeriksa 143 individu yang berada dalam premis itu. Kami turut menahan 80 individu, 54 wanita dan 12 lelaki warga Thailand termasuk empat yang berperwatakan sebagai perempuan atau ‘€˜maknyah'.

"Selain itu, kami turut menahan lapan wanita warga Laos, tiga lelaki warga Myanmmar, dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki wargan Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai pemain muzik, penari, penyanyi, GRO dan pekerja premis itu sendiri,"katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Mustafar berkata, pihaknya turut mengesan terdapat aktiviti kalungan bunga dan persembahan ‘cat walk’€€™ di atas pentas.

Katanya, bayaran bagi kalungan bunga adalah sebanyak RM20; mahkota bernilai RM100 dan jubah bernilai RM688.

"Pelanggan akan memberikan jubah itu sebagai 'tips' kepada wanita yang dipilih. Pelanggan yang memberi jubah bernilai RM688 kepada wanita itu dibenarkan membawanya keluar,"katanya.

Beliau berkata, pekerja dan pelanggan yang berada dalam premis ketika dijalankan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Semua tahanan ini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan.

"Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,"katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 7:13pm
d