mutakhir

Tragedi tangki air sabun meletup

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEKERJA kedai membasuh kereta parah di muka manakala rakan sekerjanya patah jari selepas tangki air sabun dikendalikan meletup sebelum serpihan tangki yang terbelah dua itu terkena mereka di Kampung Abi Selatan, Kangar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 40-an dan 20-an itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

"Mangsa ada membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan petang tadi. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan adalah kemalangan di tempat kerja dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian Abdul Razak Hashim, 57, berkata, dia baru menunaikan solat sebelum dikejutkan bunyi letupan kuat.

"Kejadian berlaku kira-kira 2 petang, ketika itu saya sedang mengangkat takbir dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat.

"Ingatkan mulanya bunyi kenderaan yang mengalami kemalangan di hadapan rumah sebelum menjengah melalui jendela rumah," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sangkaannya meleset apabila terlihat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dalam keadaan terduduk sambil memegang tangan kanan dan seorang lagi lelaki berusia 40-an tercampak ke tepi parit berhadapan kedai mencuci kereta.

"Mangsa yang tercampak di sebelah parit berlumuran darah di muka manakala rakannya memegang tangan kanan.

"Saya antara yang terawal sampai sebelum yang lain berkerumun di tempat membasuh kereta itu dan meminta orang ramai menghubungi ambulans," katanya ditemui semalam.

Abdul Razak berkata, kebetulan seorang saksi di tempat kejadian adalah kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang terus menghubungi pihak ambulans.

"Kemungkinan tangki air sabun berkenaan meletup kerana tekanan air yang dimasukkan terlalu kuat dan pada masa yang sama kuantiti sabun terlalu banyak dalam tangki.

"Tiada ruang udara yang tersimpan dalam tangki itu lalu menyebabkan ia meletup, malah letupan terbabit seperti bunyi kenderaan berlanggar antara satu sama lain," katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 7:42pm
d