mutakhir

14 pegawai kanan PDRM bertukar jawatan

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 14 pegawai kanan pelbagai jabatan berkuat kuasa bulan depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataannya di Kuala Lumpur berkata, pertukaran itu berkuat kuasa pada 30 Oktober depan.

Mendahului senarai, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azizi Mat Aris bertukar ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Tadbir Urus/ Kepolisian Am) Bukit Aman.

Penolong Pengarah (D7B) Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Baharudin Mustapha dan Penolong Pengarah Unit Rondaan Bermotosikal/e-Sektor, Bahagian Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim, pula bertukar jawatan kepada Penolong Pengarah (D7B) Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi/ Bantuan Teknik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman Asisten Komisioner Koh Ah Tiam dan Penolong Pengarah Urusetia, Cawangan Urusetia, Bahagian Urusetia/Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Ahmad Mazlan Yahya, turut bertukar jawatan kepada Penolong Pengarah Urusetia, Cawangan Urusetia, Bahagian Urusetia/ Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Dalila Mohd Yasin, bertukar jawatan sebagai Penolong Pengarah Kepolisian Kemasyarakatan, Bahagian Kepolisian Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

Siti Dalila menggantikan Asisten Komisioner Wong Ing Fung yang ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi), Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah (Kepolisian Am/ Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Bukit Aman .

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zulkefly.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) IPK Kedah, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah pula menggantikan Mohd Shukri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pegawai Diwartakan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi ditukarkan ke jawatan Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik, IPK Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar pula ditukarkan ke jawatan Ketua Polis Daerah Kulai, Johor.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Semenyih, Superintendan Mohd Taufik Maidin bertukar ke jawatan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Kelantan.

Pegawai kanan terakhir dalam senarai pertukaran adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sandakan, Deputi Superintendan Sabarudin Rahmat yang bertukar ke jawatan Ketua Polis Daerah Sipitang, Sabah.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 11:43pm
d