mutakhir

Penyamun mati bergelut tuan rumah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kota Tinggi: Tindakan seorang lelaki berusia 30-an memecah masuk kediaman peneroka membawa padah apabila dia maut ketika bergelut dengan penghuni rumah berkenaan di FELDA Simpang Waha di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu mengakibatkan suspek yang tidak mengalami kecederaan luar meninggal dunia di lokasi kejadian dan diklasifikasikan mati secara mengejut.

Kejadian berlaku apabila mangsa bertindak melindungi diri susulan kediamannya dipecah masuk suspek dalam kes itu.

“Berlaku pergelutan antara penghuni rumah berkenaan dengan lelaki terbabit sebelum suspek meninggal dunia.

“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan luar terhadap suspek berkenaan,” katanya mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki lebih lima rekod jenayah lampau.

“Ketika ini siasatan menjurus kepada kematian mengejut dan kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

Polis turut meminta orang awam memberikan masa bagi membolehkan siasatan lanjut kejadian itu.

“Jangan ada yang memanipulasikan kes ini dengan ulasan dan pandangan tanpa berdasarkan fakta siasatan,” katanya.

Sementara itu, kejadian pecah rumah berkenaan dikongsi menerusi laman sosial Facebook (FB) Orang Kota Tinggi, petang semalam.

Dua keping gambar dikongsi dengan perinciannya membabitkan ‘Kakitangan FTP Simpang Waha. Kejadian berlaku 4.30 pagi.’

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 4:41am
d