mutakhir

Kongsi ilmu hartanah [METROTV]

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press Bhd (M) Berhad (NSTP), edisi keempat yang bakal berlangsung di pusat beli-belah The Curve dijangka mencatatkan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi untuk menyaksikan pembabitan lebih ramai pengunjung pada siri keempat itu berikutan permintaan pasaran hartanah yang tinggi untuk kawasan sekitar Lembah Klang.

“Pameran Hartanah MyRumah bukan saja diadakan untuk mengumpulkan syarikat pemaju dan mempamerkan hartanah yang ada, malah turut menyampaikan ilmu berkaitan pemilikan kediaman dan sebagainya.

“Pada masa sama, kami berharap Pameran Hartanah MyRumah dapat menjadi peneraju untuk segmen perundingan dan khidmat nasihat pasaran hartanah di Malaysia,” katanya pada sidang media di Balai Berita di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial NSTP Alfian Abu Talib, barisan penceramah dan wakil syarikat yang mengambil bahagian.

Sementara itu, Pengurus Besar Pengiklanan Agensi/Rencana Khas NSTP, Chew Ruoh Syh berkata, setakat ini, lapan syarikat pemaju sudah mengesahkan pembabitan selain pempamer bukan pemaju seperti Cuckoo, Amanah Raya, Bank Muamalat, Grab, LePro, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Volkswagen.

Syarikat hartanah yang terbabit adalah Glomac Berhad, Magna Prima Development, Pantai Berkat Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seriemas Development Sdn Bhd, Sime Darby Group, Uda Holdings dan Worldwide Holdings Berhad.

“Di samping pameran dan ceramah oleh pakar industri, acara yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik lain termasuk hiburan untuk kanak-kanak dan cabutan bertuah untuk pengunjung.

“Malah, pengunjung yang menggunakan khidmat Grab berpeluang menikmati diskaun sehingga RM5 untuk setiap perjalanan dari dan ke The Curve,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 5:42am
d