mutakhir

Dituduh lakukan serangan seksual

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Seorang juruteknik telekomunikasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Desa, Ipoh pada 3 dan 13 September lalu.

Tertuduh Termizi Sulaiman, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dibaca di hadapan hakim Murtazadi Amran.

Bagi pertuduhan pertama Termizi didakwa melakukan kesalahan serangan seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Sri Desa di sini jam 2 petang pada 3 September lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama pada jam 1.35 petang pada 13 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili oleh Ranjit Singh manakala pendakwaan dijalankan Naidatul Athirah Azman dan kes disebut semula pada 31 Oktober ini.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 2:28pm
d