mutakhir

Temberang tak jadi

Oleh Safuri Kamarudin

HANYA kerana enggan membayar denda RM110 akibat kehilangan Mykad, tiga lelaki sanggup membuat laporan polis palsu kononnya mereka menjadi mangsa samun lima individu di kawasan kilang di Kuala Ketil, Baling, Isnin lalu.

Bagaimanapun tindakan itu mengundang padah apabila siasatan lanjut polis mendapati mereka yang berusia 17 hingga 24 tahun sebenarnya tidak disamun dan sengaja mereka-reka cerita.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, suspek membuat laporan di Balai Polis Kuala Ketil pada 4.10 petang mendakwa disamun di kawasan kilang di Kuala Ketil pada 2 pagi.

Menurutnya, mereka mendakwa disamun lima lelaki bersenjatakan pedang samurai dan parang namun siasatan lanjut terdapat keraguan ketika merakamkan percakapan mereka.

“Polis kemudian meminta mereka menunjukkan lokasi samun secara berasingan namun mendapati ketiga-tiga mereka menunjukkan lokasi berbeza.

“Mereka kemudian mengaku membuat laporan palsu kerana mahu mengelak membayar denda atas kesalahan pertama kehilangan kad pengenalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shariffuddin berkata, dalam laporan itu, mereka turut mendakwa kehilangan telefon bimbit dan kad bank.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,”€ katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 4:08pm
d