mutakhir

Dituduh terima suapan RM5,000

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

KAKITANGAN kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, selepas didakwa menerima suapan sebanyak RM5,000 pada Julai tahun lalu.

Abdul Kadar K Sikinthar Bacha, 48, didakwa melakukan perbuatan itu ketika bertugas sebagai Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Larut Matang dan Selama pada 26 Julai 2016 di Syarikat K Pitchai, Jalan Barrack, Taiping kira-kira 2 petang.

Dia didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM5,000 daripada Sarmugam Cinnapan kononnya untuk diberikan kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan kes berkaitan pengadu dengan SPRM Taiping.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang mana sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal di hadapan Hakim S Indra Nehru manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM18,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran dengan tempat tinggal dan menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 4:23pm
d